337 Projek GKCDA, RTP Bernilai RM175 Juta Diluluskan Untuk Opar
KUCHING: Sebanyak 357 projek di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Greater Kuching (GKCDA) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan nilai keseluruhan RM175 juta telah diluluskan untuk konstituensi Opar sepanjang penggal ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, sebanyak 187 projek bernilai RM150 juta diluluskan di bawah GKCDA, manakala 170 projek bernilai RM25 juta diluluskan menerusi RTP.
"Daripada 187 projek GKCDA tersebut, sebanyak 42 projek telah siap, 72 sedang dilaksanakan, 66 masih dalam perancangan dan proses perolehan tender, manakala tujuh projek lagi belum dimulakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Menurutnya, projek GKCDA merangkumi 16 projek penurapan jalan kampung bernilai RM33 juta, 53 projek jalan pertanian bernilai RM31 juta serta 50 sistem bekalan air paip graviti dan tiga projek sambungan air terawat bernilai RM22.24 juta.
Selain itu katanya, sebanyak 37 dewan masyarakat bernilai RM14.82 juta, tujuh projek menaik taraf sawah padi bernilai RM23 juta dan pemasangan lampu jalan dalam kampung bernilai RM5 juta turut diluluskan.
Tambahnya, projek lain melibatkan pembinaan dan penambahbaikan jambatan, sekolah, gereja, bekalan elektrik serta pelbagai kemudahan asas.
Dalam pada itu, Billy memberitahu, projek RTP pula melihatkan hampir semua projek telah dilaksanakan, kecuali beberapa projek yang diluluskan pada 2026 dan masih dalam proses perolehan.
Antara projek RTP ialah pembinaan lapan dewan masyarakat baharu bernilai RM2.8 juta, menaik taraf 41 dewan masyarakat dan balai raya bernilai RM5.1 juta serta pembinaan 38 jalan pertanian bernilai RM5.86 juta.
Turut dilaksanakan ialah 27 projek sistem perparitan bernilai RM3 juta, 14 sistem paip graviti bernilai RM2.26 juta dan 13 kemudahan sukan bernilai RM1.6 juta, termasuk gelanggang futsal, sepak takraw, pickleball dan badminton.
Selain itu, sebanyak tujuh sekolah turut dibaik pulih dengan kos RM1.47 juta, selain projek penurapan jalan, pembinaan jeti nelayan, pemasangan lampu jalan, rumah ibadat, pusat tani, tempat pengumpulan sampah dan rumah adat. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery