237 Rumah Di Opar Bakal Nikmati Bekalan Elektrik Menerusi Projek ALAF
KUCHING: Sebanyak 237 rumah yang masih belum mendapat bekalan elektrik akan menerimanya menerusi Alternative and Late Application Fund (ALAF).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata, sebanyak 868 rumah telah mendapat bekalan elektrik manakala 237 akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Saya amat berharap pelaksanaan projek ALAF ini dapat direalisasikan sebelum sambutan Hari Krismas tahun ini supaya keluarga yang terlibat dapat menyambut perayaan tersebut dalam suasana yang terang dan lebih bermakna," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Dalam pada itu, Billy berkata kemudahan telekomunikasi dan internet juga merupakan keperluan asas yang penting, khususnya dalam memperkasa ekonomi luar bandar.
Ujarnya, akses internet yang baik dapat membuka peluang kepada usahawan luar bandar untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian, memperluas pasaran serta menyertai ekonomi digital hingga ke peringkat antarabangsa. - EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery