KUCHING: Sebanyak 422 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi konstituensi Opar kini berada dalam simpanan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dan sedia untuk diserahkan kepada pemilik tanah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, usaha penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan itu akan terus diperkasakan bagi memastikan proses pendokumentasian tanah dapat diselesaikan secara berperingkat.
Menurutnya, sehingga 30 September ini, sebanyak 29 kawasan dengan keluasan 13,154 hektar telah siap diukur perimeter, melibatkan 37 kampung di kawasan Opar.
"Bagi pengukuran lot individu, sebanyak tiga kawasan berkeluasan 593 hektar telah diukur, melibatkan sejumlah 714 lot.
"Sebanyak enam lagi kawasan berkeluasan 4,454 hektar yang melibatkan 11 kampung sedang dalam proses pengukuran.
"Daripada jumlah tersebut, seluas 3,554 hektar telah siap diukur, melibatkan sebanyak 4,003 lot," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Justeru, Billy berharap kerajaan dapat meneruskan usaha penyukatan tanah NCR secara berterusan bagi memastikan hak pemilik tanah dapat didokumentasikan dengan sewajarnya.
Katanya, usaha berkenaan akan diteruskan pada tahun hadapan sehingga semua proses penyukatan tanah NCR di kawasan Opar selesai.
Beliau turut menyatakan bahawa penyukatan melalui DBNA merupakan antara alternatif yang akan digunakannya bagi mempercepatkan proses pendokumentasian tanah NCR di kawasan berkenaan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery