FDS Digantung Sementara, Kaedah Alternatif Pastikan Kesinambungan Perkhidmatan Kesihatan
KUCHING: Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak digantung sementara susulan nahas helikopter di Long Lellang, Baram, pada 8 September 2026, dengan kaedah alternatif diperkenalkan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan terjejas.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kerajaan akan terus menilai dan menambah baik kaedah penyampaian perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman dengan mengambil kira aspek keselamatan, keberkesanan dan kesinambungan perkhidmatan.
“Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan terjejas, FDS akan digantikan sementara dengan kaedah penyampaian perkhidmatan kesihatan alternatif yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Dato Friday Belik semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Jumaat.
Menurut Datuk Michael Tiang, kaedah alternatif yang dilaksanakan termasuk menggerakkan pasukan klinik bergerak menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan pengangkutan sungai ke kawasan yang boleh diakses.
Sementara itu, katanya, pelan kontingensi antara agensi diaktifkan bagi memastikan perkhidmatan kecemasan tidak terganggu sepanjang penggantungan sementara operasi helikopter FDS.
Beliau menambah, pemindahan perubatan (MEDEVAC) bagi menyelamatkan nyawa dari kawasan pedalaman sedang diselaraskan melalui aset udara Kerajaan alternatif, termasuk Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Dalam pada itu, Datuk Michael Tiang memaklumkan, kerajaan sedang merangka cadangan penambahbaikan dan pemerkasaan FDS secara menyeluruh bagi memastikan perkhidmatan itu dapat dilaksanakan dengan lebih selamat dan berkesan pada masa hadapan.
Tegasnya, penambahbaikan berkenaan merangkumi keselamatan operasi, kesesuaian dan keupayaan aset udara, latihan serta kesiapsiagaan kecemasan, kebajikan dan perlindungan petugas, selain pengukuhan kaedah penyampaian perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman.
Katanya lagi, bagi meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan petugas kesihatan yang terlibat dalam tugasan MEDEVAC, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dengan kerjasama JBPM menganjurkan Sarawak Medevac Staff Engagement, Safety Briefing and Aircraft Familiarisation Roadshow 2026 untuk memperkukuh pemahaman, persediaan dan keyakinan petugas dalam melaksanakan pemindahan pesakit dengan selamat dan cekap.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang