Kajian Naik Taraf Empangan Rendah LRA Lichok Diharap Jamin Bekalan Air Kabong
KUCHING: Usaha memperkukuh jaminan bekalan air bersih di Kabong dan kawasan sekitarnya perlu diberi perhatian menerusi kajian cadangan menaikkan paras struktur empangan rendah (weir) di Loji Rawatan Air (LRA) Lichok, khususnya bagi menghadapi musim kemarau berpanjangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, cadangan itu merupakan antara langkah penyelesaian jangka panjang yang wajar diteliti bagi memastikan sumber air mentah mencukupi untuk menampung keperluan penduduk.
Menurut beliau, LRA Lichok mempunyai kapasiti pemprosesan sebanyak 25 juta liter sehari (MLD), yang pada asasnya mampu memenuhi keperluan bekalan air di Kabong dan kawasan sekitarnya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa gangguan bekalan air yang berlaku baru-baru ini bukan disebabkan kekurangan kapasiti loji, sebaliknya berpunca daripada penyusutan sumber air mentah akibat kemarau berpanjangan.
“Masalah sebenar ialah kekurangan air mentah akibat kemarau berpanjangan sehingga bekalan air untuk diproses tidak mencukupi.
“Saya mengulangi cadangan supaya pihak kementerian dan agensi teknikal menjalankan kajian untuk menaikkan paras ‘weir’ bagi membantu mengekalkan aras air dan meningkatkan simpanan air mentah untuk LRA Lichok ketika musim kemarau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Jumaat.
Sehubungan itu, Dato Mohd Chee berharap kementerian dan agensi teknikal berkaitan dapat memperincikan status kajian berkenaan, termasuk langkah bagi menjamin bekalan air mentah serta garis masa pelaksanaan sekiranya cadangan tersebut didapati berdaya maju.
Katanya, penyelesaian jangka panjang amat penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada penghantaran air menggunakan lori tangki yang hanya berfungsi sebagai langkah sementara ketika gangguan bekalan berlaku.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut membangkitkan keperluan mempercepatkan pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Ulu Roban yang telah diluluskan beberapa tahun lalu dan masih dinantikan penduduk.
Beliau juga meminta penjelasan mengenai status projek bekalan air di Kampung Gerigat bagi memastikan perancangan penyediaan kemudahan asas itu dapat dilaksanakan demi manfaat masyarakat setempat.-EDISI UKAS