Dua Projek Pacu Sasaran Bekalan Air Bersih Menyeluruh Di Krian Menjelang 2028
KUCHING: Penduduk di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian disasarkan menikmati akses bekalan air bersih dan selamat menjelang 2028 menerusi pelaksanaan dua projek strategik bernilai keseluruhan RM425 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Dato Friday Belik berkata, pelaksanaan kedua-dua projek itu dijangka memperkukuh sistem bekalan air sedia ada, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, projek pertama melibatkan pembinaan sistem bekalan air ke Daerah Saratok menerusi Proposed Water Supply System to Saratok District bernilai RM185 juta yang merangkumi kawasan Ulu Sebetan, Brayang, Mudong, Tapang Ujan dan Kop Ibus.
Katanya, projek kedua pula membabitkan penaiktarafan Loji Rawatan Air Kaki Wong di Bahagian Betong dengan peruntukan RM240 juta bagi meningkatkan kapasiti rawatan air daripada 30 juta liter sehari (MLD) kepada 60 MLD.
“Dengan siapnya projek ini nanti, seluruh kawasan DUN Krian akan mendapat bekalan air bersih daripada JBALB menjelang 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Jumaat.
Dato Friday menjelaskan, pelaksanaan projek berkenaan penting bagi memastikan penduduk luar bandar turut menikmati kemudahan asas yang lebih baik, selaras dengan usaha merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menekankan kepentingan memperluas liputan telekomunikasi dan internet di DUN Krian bagi meningkatkan kesalinghubungan digital penduduk.
Sehubungan itu, beliau berharap peruntukan RM309 juta menerusi pembiayaan alternatif (Alternative Funding) dalam Belanjawan Sarawak 2027 bagi pembinaan lebih banyak menara telekomunikasi turut memberi manfaat kepada kawasan yang masih berdepan masalah liputan di Krian.
Beliau turut menyambut baik penekanan terhadap pembangunan luar bandar dalam Belanjawan Sarawak 2027, khususnya usaha memperkukuh penyediaan infrastruktur asas dan kemudahan awam.
Selain itu, Dato Friday melihat pembangunan sektor pertanian moden dan pelancongan sebagai antara pemacu ekonomi yang berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
Menurutnya, kesinambungan pelaksanaan inisiatif pembangunan berkenaan diharap dapat memperkukuh pertumbuhan ekonomi DUN Krian seiring dengan hala tuju pembangunan Bahagian Betong.-EDISI UKAS