Naik Taraf Jalan Di 11 Penempatan Penan Ulu Limbang Diharap Tingkat Akses Kemudahan Asas
KUCHING: Usaha meningkatkan jaringan perhubungan jalan raya ke 11 penempatan masyarakat Penan di Ulu Limbang diberi perhatian bagi memastikan penduduk pedalaman menikmati akses lebih baik kepada kemudahan asas, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, kerja menaik taraf bekas jalan balak yang menghubungkan penempatan berkenaan amat penting bagi memudahkan pergerakan penduduk serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Menurut beliau, antara kawasan yang memerlukan perhatian ialah Kampung Kartadem, Long Sebayang, Long Tegan, Long Kapon, Long Sulung, Long Rayeh, Long Keneng, Long Persek, Long Adang, Long Gita dan Ba Nyakit.
“Keadaan sebahagian jalan ke penempatan tersebut sangat daif kerana tidak diselenggara selepas syarikat pembalakan berhenti beroperasi. Ini memberi kesan langsung kepada kehidupan harian penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Jumaat.
Sehubungan itu, Dato Paulus berharap peruntukan RM742 juta bagi pembinaan jalan dan jambatan negeri serta RM2.27 bilion menerusi dana alternatif dapat dimanfaatkan untuk menaik taraf dan menyelenggara jalan berkenaan.
Katanya, penambahbaikan infrastruktur jalan bukan sahaja dapat memudahkan urusan harian penduduk, malah membuka peluang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat pedalaman.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberi perhatian terhadap usaha meningkatkan kecekapan sistem bekalan air bersih di Limbang dan Batu Danau, khususnya di Tedungan, Kampung Anak Bukit dan Kuala Awang.
Menurutnya, penggantian paip lama perlu dipercepatkan bagi menangani masalah tekanan air rendah dan gangguan bekalan yang menjejaskan keselesaan penduduk.
Beliau menjelaskan bahawa Sarawak Water berdepan kekangan untuk meningkatkan tekanan air berikutan risiko paip lama pecah.
Sementara itu, Dato Paulus turut berharap projek Klinik Kesihatan Long Napir (Jenis 6) bernilai RM7.3 juta dapat disiapkan bagi memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Kelabit dan Penan.
Katanya, kemudahan berkenaan amat diperlukan memandangkan penduduk ketika ini terpaksa menempuh perjalanan kira-kira tiga jam setengah menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk mendapatkan rawatan di Hospital Limbang.
Dalam aspek kesalinghubungan udara, beliau menyambut baik peruntukan RM25 juta bagi projek pemanjangan landasan Lapangan Terbang Limbang kepada 1,790 meter.
Beliau turut mencadangkan penambahan penerbangan terus harian bagi laluan Limbang–Kuching bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat.-EDISI UKAS