Disiplin, Keadilan Dan Hormat Asas Pelihara Martabat DUN Sarawak
KUCHING: Disiplin, keadilan dan sikap saling menghormati dalam kalangan wakil rakyat perlu terus diperkukuh bagi memastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kekal sebagai institusi legislatif yang berintegriti, berwibawa dan mendapat kepercayaan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, prinsip berkenaan menjadi asas kepada sokongan beliau terhadap usul menangani salah laku dan tingkah laku tidak wajar dalam DUN Sarawak.
Menurutnya, setiap wakil rakyat mempunyai tanggungjawab untuk memelihara martabat Dewan yang diamanahkan rakyat sebagai medan membincangkan kepentingan awam, menggubal dasar serta memperjuangkan kesejahteraan negeri.
“Justeru, setiap Ahli Yang Berhormat bertanggungjawab menjaga kewibawaan Dewan melalui tutur kata dan tindakan yang mencerminkan kematangan sebagai wakil rakyat.
“Perbezaan pandangan merupakan sebahagian daripada proses demokrasi. Namun, perbezaan itu mesti disampaikan secara bertanggungjawab dan beradab, tanpa serangan peribadi, penghinaan, ugutan atau tindakan yang boleh mengganggu perjalanan persidangan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Abdul Yakub menegaskan, kebebasan bersuara dalam Dewan perlu sentiasa diseimbangkan dengan tanggungjawab serta pematuhan terhadap Peraturan Mesyuarat tanpa mengira kedudukan atau fahaman politik.
“Kebebasan bersuara mesti berjalan seiring dengan tanggungjawab. Tiada sesiapa boleh menganggap dirinya mengatasi peraturan Dewan,” ujarnya.
Jelas beliau, pematuhan terhadap peraturan bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya memastikan setiap wakil rakyat dapat mengambil bahagian dalam perbahasan secara adil, matang dan teratur.
“Bagaimanapun, tindakan terhadap salah laku tidak seharusnya dilihat sebagai usaha menyekat kritikan yang sah atau mengehadkan perbezaan pendapat dalam persidangan.
“Sebaliknya, peraturan diperlukan bagi memastikan semua Ahli Yang Berhormat mempunyai ruang yang adil untuk menyampaikan pandangan dalam suasana teratur dan saling menghormati,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa perbahasan yang tegas dan berbeza pandangan tetap mempunyai tempat dalam amalan demokrasi, selagi dilaksanakan secara berhemah serta menghormati kewibawaan Speaker dan institusi Dewan.
Sehubungan itu, katanya, sebarang tindakan terhadap salah laku perlu dilaksanakan secara konsisten, adil dan saksama tanpa mengira kedudukan atau kecenderungan politik seseorang wakil rakyat.
“Tiada seorang pun Ahli Yang Berhormat harus berada di atas peraturan, dan pada masa yang sama, tiada seorang pun harus dilayan secara tidak adil. Prinsip akauntabiliti, keadilan dan kesamarataan mesti terpakai kepada semua,” katanya.
Pada masa sama, Abdul Yakub menyeru semua wakil rakyat, sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang, supaya terus mengutamakan budaya perbahasan yang membina serta menjadikan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Tambah beliau, perbezaan pendirian politik tidak seharusnya menjejaskan tanggungjawab bersama untuk mempertahankan kewibawaan DUN Sarawak sebagai institusi yang mencerminkan kematangan demokrasi dan aspirasi rakyat negeri ini.-EDISI UKAS