Tilawah Al-Quran Bandaraya SeBorneo Himpun Sembilan Bandar Raya
KUCHING: Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Seborneo yang akan berlangsung dari 26 hingga 29 Oktober 2026 di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Kuching menjadi platform memartabatkan seni bacaan al-Quran serta mempromosikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Al-Quran Darul Hana-Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS), Setiausaha Bersama MTQBB, Mohamad Shalahudin Marzuki berkata, majlis tersebut menghimpunkan peserta dari sembilan bandar raya di seluruh Kepulauan Borneo dalam usaha memperkukuh ukhuwah Islamiah.
Katanya, penganjuran julung kali itu merupakan platform penting untuk mengeratkan persaudaraan antara komuniti serantau, selain memberi peluang kepada peserta mengetengahkan bakat dalam bidang tilawah dan hafazan al-Quran.
“Majlis Tilawah Al-Quran Bandar Raya Seborneo ini adalah yang pertama seumpamanya saya rasa di Nusantara ini. Kerana sebelum ini pernah berlangsung pada tahun 2023.
“Majlis Tilawah Al-Quran Borneo yang melibatkan ketika itu lima provinsi di Kalimantan, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS, pada Jumaat.
Tambahnya lagi, penganjuran kali ini melibatkan sembilan bandar raya, iaitu Kuching, Miri, Kota Kinabalu, Bandar Seri Begawan, Pontianak, Banjarmasin, Samarinda, Palangka Raya dan Tanjung Selor.
Menurutnya, majlis itu bukan sekadar pertandingan, malah menjadi medium mempromosikan Sarawak sebagai destinasi yang terkenal dengan keharmonian masyarakat berbilang agama, bangsa dan suku kaum.
Seramai 32 peserta akan mengambil bahagian dalam dua kategori utama, iaitu tilawah al-Quran serta hafazan al-Quran 15 juzuk bagi lelaki dan perempuan.
Pemilihan peserta turut mengambil kira empat kriteria utama, iaitu penguasaan tajwid, taranum, fasahah dan mutu suara, selain menetapkan bahawa peserta tidak pernah menjadi johan di peringkat kebangsaan di negara atau wilayah masing-masing bagi memberi peluang kepada bakat baharu.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Komunikasi dan Korporat Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Helmi Nahrawi berkata, pelbagai program sampingan turut disediakan bagi menarik penyertaan masyarakat, termasuk Bicara Ilmuwan Seborneo, kuiz al-Quran, pameran sejarah al-Quran serta demonstrasi seni khat.
“Yang akan menghimpunkan para alim ulama dan yang telah mengesahkan kehadiran Sahibus Samahah Datuk Mufti Sarawak, Sahibus Samahah Datuk Mufti Sabah dan juga wakil daripada negara Brunei dan juga dari Kalimantan,” ujarnya.
Beliau berkata, program berkenaan diharap dapat memperluas perkongsian ilmu agama serta memberi peluang kepada pengunjung mengenali keunikan seni bacaan al-Quran dari pelbagai wilayah di Borneo.
Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Islam Sarawak dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara itu dijadualkan berlangsung seawal 8 pagi hingga malam sepanjang empat hari penganjuran di Kompleks Islam Sarawak.
Orang ramai tanpa mengira latar belakang agama dialu-alukan hadir bagi menyaksikan program berkenaan, sekali gus menyokong usaha memupuk perpaduan dan memperkukuh hubungan masyarakat di Kepulauan Borneo.-EDISI UKAS