Sarawak Terus Perjuang Penyelesaian Jangka Panjang Hak MA63
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperjuangkan penyelesaian jangka panjang bagi Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan serta peningkatan perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat melalui rundingan berterusan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, peningkatan pemberian khas interim kepada RM1.5 bilion daripada RM600 juta merupakan perkembangan yang dihargai, namun belum menjadi penyelesaian muktamad kepada kajian semula pemberian berkenaan.
“Bagi penyelesaian jangka panjang, Kerajaan Sarawak telah mengemukakan cadangan supaya satu formula yang jelas dan konsisten diwujudkan bagi menentukan kadar Pemberian Khas.
“Cadangan formula tersebut masih dalam perbincangan antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan dan setakat ini, belum ada formula muktamad yang dipersetujui,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Mengenai tuntutan perwakilan satu pertiga kerusi Parlimen, Datuk Sharifah Hasidah berkata Kerajaan Persekutuan telah bersetuju secara prinsip supaya nisbah perwakilan Sarawak dan Sabah di Dewan Rakyat ditingkatkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 pada 11 September 2026.
Bagaimanapun katanya, mekanisme pelaksanaannya, termasuk jumlah kerusi dan pindaan yang diperlukan kepada Perlembagaan Persekutuan, masih perlu diperhalusi.
Tegas beliau, Kerajaan Sarawak akan meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 bagi memperjuangkan perkara yang masih belum dimuktamadkan.-EDISI UKAS