Di Sebalik Kehilangan, Bantuan Kerajaan Sarawak Beri Harapan Kepada Waris Mangsa FDS
KUCHING: Di sebalik kesedihan kehilangan insan tersayang, keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam menyalurkan bantuan kewangan, sokongan pendidikan dan peluang pekerjaan memberi sinar harapan baharu kepada waris mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram.
Bantuan tersebut bukan sekadar meringankan beban keluarga yang ditinggalkan, malah menjadi sumber kekuatan untuk mereka meneruskan kehidupan, khususnya dalam memastikan kebajikan dan masa depan anak-anak mangsa terus terbela.
Suami kepada Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamarudin, Mohd Faiz Ab Malek menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dan seluruh rakyat negeri ini atas sokongan serta keprihatinan yang ditunjukkan sejak tragedi pada 8 September lalu.
“Setinggi-tinggi terima kasih kepada kerajaan Sarawak yang memberikan sumbangan dan sebelum ini pun rakyat Sarawak pun dah beri sokongan jugalah. Yang itulah yang lebih penting juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan Sarawak kepada Waris Mangsa Helikopter FDS Long Lellang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Jumaat.
Pada majlis berkenaan, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyampaikan sumbangan keseluruhan RM500,000 kepada waris lima mangsa, dengan setiap keluarga menerima RM100,000.
Sementara itu, isteri kepada Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, Nor Izzati Syamimi Suhaimi turut menzahirkan rasa terharu atas komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam membantu keluarga mangsa sejak hari pertama tragedi berkenaan.
“Terima kasih banyak untuk Kerajaan Sarawak sebab memang banyak bantu daripada hari pertama sampai sekarang,” ujarnya.
Dalam pada itu, isteri kepada mendiang Alexson Adit Henry, Stephanie Essah Incham menyifatkan bantuan yang diterima amat bermakna, khususnya dalam memastikan masa depan pendidikan dua anak mereka yang masing-masing berusia lima dan dua tahun terus terjamin.
Menurutnya, selain sumbangan kewangan RM100,000, bantuan pendidikan menerusi Yayasan Sarawak turut memberi kelegaan kepada keluarganya kerana membuka peluang kepada kedua-dua anak mereka untuk melanjutkan pengajian hingga ke peringkat universiti.
Stephanie turut merakamkan penghargaan atas tawaran pekerjaan yang diterimanya sebagai sebahagian daripada bantuan susulan tragedi tersebut, sekali gus membantu keluarganya membina semula kehidupan selepas kehilangan ketua keluarga.
“Saya sangat-sangat terharu dengan Kerajaan Sarawak, Yayasan Sarawak yang telah membantu kami, terutamanya dengan anak-anak kami untuk pelajaran mereka sampai universiti," katanya.-EDISI UKAS