Sukan Jadi Alternatif Positif Cegah Penyalahgunaan Dadah
BINTULU: Penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan perlu diperkasa sebagai alternatif gaya hidup sihat, khususnya dalam kalangan belia, bagi meningkatkan kesedaran terhadap bahaya penyalahgunaan dadah.
Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan berkata, program Mini Bowling: Strike Out Drugs! bertemakan ‘Sukan Sihat Tanpa Dadah’ menggunakan pendekatan sukan untuk menyampaikan mesej pencegahan dadah secara lebih dekat dengan masyarakat.
Menurutnya, penyalahgunaan dadah bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu, malah memberi kesan kepada keharmonian keluarga, kesejahteraan masyarakat dan masa depan generasi muda.
“Melalui aktiviti sukan seperti ini, kita menyampaikan mesej jelas bahawa sukan merupakan pilihan gaya hidup positif untuk menjauhi gejala dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program berkenaan, di sini pada Khamis.
Program anjuran JKKK Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Cina Bintulu bersama PEMADAM Daerah Bintulu, dengan kerjasama JKRS Pejabat Daerah Bintulu, itu disertai 84 peserta yang mewakili 14 pasukan.
Awang Mohammed Nizam berharap program seumpama itu dapat diteruskan dengan penyertaan lebih ramai anggota masyarakat, khususnya golongan belia, bagi meluaskan kesedaran mengenai kepentingan menjauhi dadah.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya mengutamakan semangat kesukanan, saling menghormati dan menjaga keselamatan sepanjang pertandingan.
Katanya, nilai kerjasama, persahabatan dan kebersamaan yang dipupuk melalui aktiviti sukan merupakan antara manfaat penting program berkenaan, selain keputusan pertandingan. -EDISI UKAS