Kemudahan Bekalan Air Terawat Di Tamin Perlu Diberi Keutamaan
KUCHING: Usaha memperluas akses bekalan air terawat kepada penduduk luar bandar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin perlu terus diberi keutamaan bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang berkata, pelaksanaan dua projek bekalan air terawat bernilai keseluruhan RM315 juta amat penting bagi memastikan penduduk menikmati kemudahan asas yang lebih baik, khususnya di kawasan yang masih berdepan masalah bekalan air.
Menurut beliau, projek berkenaan melibatkan Projek Bekalan Air Stapang–Sekuau bernilai RM117 juta serta Projek Bekalan Air Selangau–Arip–Baoh–Ulu Selangau bernilai RM198 juta yang telah diluluskan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Sehubungan itu, beliau berharap pelaksanaan kedua-dua projek tersebut dapat dipercepatkan memandangkan penduduk telah lama menantikan kemudahan berkenaan.
“Seperti yang pernah saya bangkitkan sebelum ini, projek-projek berkenaan telah diluluskan lebih lapan tahun lalu. Namun, pelaksanaan fizikal masih belum dimulakan.
“Saya memohon penjelasan yang jelas mengenai punca kelewatan, agensi pelaksana yang bertanggungjawab serta tarikh jangkaan bagi proses tender, permulaan dan penyiapan projek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Ir. Christopher menyambut baik pengaturan yang membolehkan projek bekalan air KKDW bernilai RM50 juta ke bawah dilaksanakan menerusi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.
Beliau berpandangan langkah itu berpotensi memperkukuh kecekapan pelaksanaan projek, selain mencadangkan supaya bidang kuasa JBALB diperluaskan kepada projek berskala lebih besar berdasarkan pengalaman serta pemahaman jabatan berkenaan terhadap keperluan masyarakat setempat.
Sementara menunggu pelaksanaan projek utama, beliau turut mencadangkan penyediaan Sistem Rawatan Air Segera (Acute Water Treatment Systems) sebagai penyelesaian jangka pendek bagi membantu penduduk di kawasan yang masih menghadapi kekangan bekalan air terawat.
Antara kawasan yang dikenal pasti ialah sepanjang Lebuhraya Pan Borneo dari Selangau ke Arip, Jalan Sapudun, Jalan Nanga Tajam, Jalan Igu, Dijih, Tamin, Ulu Oya dan Ulu Pakoh.
Pada masa sama, beliau berharap perhatian turut diberikan kepada kawasan yang mempunyai rangkaian paip sedia ada tetapi masih mengalami bekalan air tidak mencukupi, termasuk Pasai Siong, Sebintek, Sekuau, Dijih dan Nanga Duat.-EDISI UKAS