Prestasi & Khidmat Kepada Rakyat Jadi Ukuran Keberkesanan Wakil Rakyat
KUCHING: Prestasi, komitmen dan keupayaan memenuhi aspirasi rakyat perlu menjadi keutamaan dalam menilai keberkesanan seseorang wakil rakyat bagi memastikan kepentingan masyarakat serta kesinambungan pembangunan kawasan sentiasa terpelihara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setiap wakil rakyat perlu sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik serta memahami keperluan masyarakat yang diwakili.
Menurut beliau, penilaian terhadap prestasi dan keupayaan seseorang wakil rakyat merupakan antara pertimbangan penting dalam proses pemilihan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
“Tiada sesiapa yang boleh menganggap dirinya tidak boleh digantikan. Tiada siapa boleh mendakwa bahawa tanpa dirinya, kawasan itu tidak akan dapat membangun atau bertambah baik.
“Kita perlu menghormati pengundi dan pandangan mereka. Mereka berhak mendapat wakil rakyat yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Penulisan DayakDaily di sini pada Sabtu.
Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menjelaskan, setiap kawasan perlu diberikan perhatian sewajarnya tanpa menganggap mana-mana kerusi sebagai selamat daripada persaingan.
Katanya, pertimbangan untuk mengekalkan atau menggantikan penyandang merupakan sebahagian daripada proses penilaian bagi memastikan kepimpinan yang berkesan dan mampu meneruskan agenda pembangunan di kawasan masing-masing.
Beliau turut berharap agar wakil rakyat yang tidak dicalonkan semula dapat terus memberikan kerjasama dan sokongan bagi memastikan usaha pembangunan serta kebajikan masyarakat tidak terjejas.
Tegasnya, kepentingan rakyat perlu sentiasa diutamakan mengatasi kepentingan individu, dengan setiap wakil rakyat bertanggungjawab memastikan amanah yang diberikan dilaksanakan sebaik mungkin.-EDISI UKAS