Backtour 4.0 Perkukuh Hubungan Wakil Rakyat, Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak
KUCHING: Sukan menjadi medium memperkukuh hubungan dan semangat kerjasama antara wakil rakyat dengan kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak menerusi penganjuran perlawanan persahabatan pickleball Backtour 4.0 GPS Backbenchers VS SCS HOD di PIKABOL Pending, di sini pada Sabtu.
Penganjuran program itu turut menyediakan ruang interaksi santai antara kedua-dua pihak selepas lima hari berlangsungnya Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat dan semangat kesukanan.
Acara yang diadakan bersempena setiap persidangan DUN Sarawak itu menyaksikan penyertaan 20 pasangan bagi kategori lelaki, masing-masing 10 pasangan mewakili ketua-ketua jabatan Perkhidmatan Awam Sarawak dan 10 pasangan daripada kumpulan backbenchers yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTK) serta Setiausaha Politik.
Bagi kategori wanita, sebanyak 16 pasangan mengambil bahagian, membabitkan lapan pasangan daripada Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Sarawak dan lapan pasangan daripada Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI).
Walaupun berlangsung dalam suasana santai dan penuh kemesraan, setiap pasangan tetap mempamerkan aksi kompetitif serta semangat kesukanan yang tinggi sepanjang pertandingan.
Lebih daripada sekadar aktiviti riadah, penganjuran Backtour 4.0 turut menjadi wadah memperkukuh persefahaman, komunikasi dan jaringan kerjasama antara wakil rakyat dengan ketua-ketua jabatan dalam suasana tidak formal.
Antara yang mengambil bahagian ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelarasan Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali serta ADUN Tellian merangkap Pengerusi Pengelola Backtour 4.0, Royston Valentine.
Dalam kategori lelaki, pasangan Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Amin Tamel muncul juara, manakala pasangan Dato Sri Saferi Ali dan Azmi Usup meraih naib juara.
Tempat ketiga menjadi milik pasangan Elson Lee dan Sapuan Baseri, diikuti pasangan Ahmad Materal dan Mohamed Faizal Shah Ali di tempat keempat.
Sementara itu, kategori wanita menyaksikan pasangan Ain Normadiah dan Gladys Lim dinobatkan sebagai juara, manakala pasangan Dato Baduyah Bujang dan Nuri Haslina muncul naib juara.
Pasangan Dato Fatimah dan Datin Lily Wong menduduki tempat ketiga, sementara pasangan Ivy Lim dan Dayang Zuraiti melengkapkan kedudukan empat terbaik.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir