IBS College Bantu Pelajar SPM Tambah Keyakinan Menerusi Bengkel Percuma
MIRI: IBS College terus komited membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi penganjuran Bengkel SPM Final Sprint: Perniagaan dan Perakaunan 2026 secara percuma untuk tahun ketiga berturut-turut.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen IBS College dalam menyediakan peluang pendidikan kepada generasi muda tanpa mengira latar belakang mereka.
Menurut beliau, pendidikan merupakan antara pelaburan terpenting untuk generasi muda, justeru setiap pelajar wajar diberikan peluang untuk meningkatkan kemampuan diri dan mencapai potensi masing-masing.
Bengkel tersebut menghimpunkan kira-kira 150 pelajar daripada lebih 10 buah sekolah, termasuk sekolah dari kawasan Subis, bagi memperkukuh pemahaman mereka dalam mata pelajaran Perniagaan dan Perakaunan serta meningkatkan keyakinan menghadapi peperiksaan SPM.
“Kejayaan bukan sekadar bergantung pada usaha menghafal segala-galanya. Anda perlu memahami konsep, membaca soalan dengan teliti, mengaplikasikan pengetahuan serta mengurus masa dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan bengkel berkenaan di IBS College, Miri pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan para pelajar memanfaatkan sepenuhnya bengkel berkenaan dengan memberikan perhatian kepada penerangan tenaga pengajar, mengemukakan soalan dan mempraktikkan teknik menjawab peperiksaan yang dikongsikan.
Beliau turut menasihatkan pelajar supaya tidak berputus asa apabila berhadapan dengan soalan sukar atau melakukan kesilapan, sebaliknya menjadikan pengalaman tersebut sebagai pengajaran untuk terus memperbaiki pencapaian diri.
Datuk Sebastian Ting turut menghargai komitmen para pengetua dan guru yang membawa pelajar menyertai bengkel tersebut, sekali gus memperlihatkan kesungguhan mereka dalam membantu pelajar mencapai kejayaan akademik.
Beliau berharap kerjasama antara IBS College, pihak sekolah dan komuniti akan terus diperkukuh bagi membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda.
Turut hadir Pengetua IBS College, Dr. Antony Hii.-EDISI UKAS