Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Sejak Kecil Bentuk Generasi Berdisiplin
BINTULU: Pendedahan awal mengenai keselamatan jalan raya penting bagi membentuk generasi pengguna jalan raya yang berdisiplin, berhemah dan bertanggungjawab.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pendidikan keselamatan jalan raya perlu bermula sejak kecil supaya amalan tersebut menjadi budaya dalam kehidupan seharian.
“Keselamatan jalan raya perlu dipupuk sejak kecil supaya ia menjadi satu amalan sepanjang hayat,” katanya ketika Program Sarawak Traffic Games (STG) Peringkat Bahagian Bintulu 2026 di Taman Lalu Lintas Bintulu pada Sabtu.
Menurutnya, program berkenaan memberi pendedahan praktikal kepada murid mengenai peraturan jalan raya, termasuk mengenali papan tanda, lampu isyarat dan lintasan pejalan kaki serta membuat keputusan yang selamat ketika berada di jalan raya.
Beliau turut menggalakkan peserta berkongsi pengetahuan yang diperoleh bersama keluarga dan rakan sebaya, selain mengingatkan golongan dewasa supaya menjadi contoh dengan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
Dalam perkembangan berkaitan, Johnny Pang merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pengangkutan Sarawak atas kelulusan peruntukan RM350,000 bagi menaik taraf Taman Lalu Lintas Bintulu.
Katanya, kemudahan tersebut diharap dapat dimanfaatkan secara berterusan sebagai pusat pembelajaran dan penganjuran program kesedaran keselamatan jalan raya, khususnya melibatkan murid sekolah.
Beliau menambah, perkembangan pesat Bintulu sebagai pusat perindustrian dan ekonomi turut menuntut peningkatan kesedaran serta disiplin pengguna jalan raya seiring pertambahan jumlah kenderaan.
Untuk rekod, STG yang diperkenalkan pada 1963 telah dihidupkan semula oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak pada 2024 selepas terhenti selama beberapa tahun.-EDISI UKAS