Budaya Bersukan Perkukuh Perpaduan, Bina Masyarakat Sihat
MIRI: Amalan bersukan perlu diteruskan sepanjang tahun bagi membina masyarakat yang sihat dan aktif, di samping memperkukuh perpaduan rakyat.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil berkata, sambutan Hari Sukan Negara menjadi platform terbaik untuk mempromosi serta menerapkan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, usaha tersebut memerlukan sokongan dan penglibatan semua pihak, termasuk ibu bapa serta ahli keluarga, bagi menjadikan aktiviti sukan sebahagian daripada kehidupan harian.
“Sukan adalah antara instrumen terbaik untuk memupuk perpaduan rakyat. Budaya sukan melalui amalan gaya hidup cergas dan aktif dapat membantu membina jiwa dan minda yang sihat serta mencegah pelbagai jenis penyakit kronik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Miri 2026 di Dataran Marudi Waterfront pada Sabtu.
Datuk Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi berkata, meskipun Hari Sukan Negara berlangsung sehari dalam setahun, semangat dan budaya bersukan perlu diteruskan sepanjang masa demi kesihatan bersama.
Beliau turut menyatakan bahawa Marudi mempunyai keistimewaan dalam bidang sukan dengan melahirkan atlet seperti Watson Nyambek dalam olahraga dan Ummi Mashitah Hassan dalam silat, selain menjadi tempat lahirnya sukan lumba perahu Baram Regatta.
Antara pengisian program ialah senamrobik perdana, larian 5KM Challenge, pertandingan Aerobicthon, Pesta Makan dan Unity Fun Walk, selain penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pelaksana, sukarelawan serta semua peserta atas sokongan menjayakan sambutan itu dan berharap semangat “Sukan Untuk Semua” terus bersemarak dalam kalangan warga Bahagian Miri.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Marudi Rose Edward Tarang, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Miri Roley Lagir, Ketua Polis Daerah Marudi DSP Nor Aizan Mohd Jamil, Pengerusi Majlis Daerah Marudi Kaunselor Edward Mendai, Setiausaha Majlis Daerah Marudi Grace Joy Dapit, serta Pegawai Menguasa Jabatan Kerja Raya Daerah Marudi Norhayaty Rawi.-EDISI UKAS