Setiap Kejayaan Anak OKU Wajar Dirai, Masyarakat Inklusif Jadi Keutamaan
MIRI: Setiap kemajuan yang dicapai oleh anak-anak orang kurang upaya (OKU) wajar diraikan sebagai kejayaan bermakna dalam usaha membina keyakinan diri, mengembangkan potensi dan memupuk kehidupan lebih berdikari.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pencapaian seperti kebolehan berkomunikasi dengan lebih yakin, menyelesaikan tugasan sendiri dan menyertai aktiviti berkumpulan merupakan perkembangan penting yang perlu dihargai.
Menurut beliau, MRC Sunflower Centre dan PPDK Sunflower Miri memainkan peranan penting dalam membantu pelajar mengembangkan keupayaan melalui pendidikan, latihan, pemulihan dan aktiviti harian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada tenaga pengajar, pengasuh, sukarelawan serta ibu bapa dan penjaga yang komited membimbing perkembangan pelajar dengan penuh kesabaran.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada MRC/PPDK Sunflower Open Day 2026 bertemakan “Together We Bloom: Celebrating Abilities, Inspiring Inclusion” di PDK Sunflower Miri, Jalan Bulan Sabit, di sini, pada Sabtu.
Jelasnya, program itu bukan sekadar meraikan pencapaian pelajar, malah menjadi platform untuk meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap keupayaan golongan OKU dan mengikis salah tanggapan terhadap mereka.
Tambah Dato Sri Lee usaha membina masyarakat inklusif perlu diterjemahkan melalui tindakan nyata, termasuk penyediaan kemudahan awam mesra OKU, akses kepada pendidikan dan latihan, peluang pekerjaan serta penyertaan dalam aktiviti kemasyarakatan.
Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab membina masyarakat inklusif bukan terletak pada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama institusi pendidikan, organisasi masyarakat, sektor perniagaan, keluarga dan individu.
Beliau berharap penganjuran program itu dapat meningkatkan kesedaran awam, memperkukuh kerjasama komuniti dan menggalakkan sokongan berterusan kepada golongan OKU serta keluarga mereka sebelum mengisytiharkan MRC/PPDK Sunflower Open Day 2026 dibuka secara rasmi.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang, Pengerusi Penganjur MRC/PPDK Sunflower Open Day 2026, Jocelyn Hee Mei Fong; Pengerusi MRC Sunflower Centre, Liza Chai serta Pengerusi PPDK Sunflower Miri, Samson Bala Palaba.-EDISI UKAS