Program Ziarah Mahabbah Berlangsung Dua Hari di Sibu, Dekatkan Masyarakat Dengan Perkhidmatan MIS
SIBU: Program Ziarah Mahabbah Zon Tengah II anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) menjadi platform untuk mendekatkan masyarakat dengan perkhidmatan dan inisiatif agensi di bawah majlis itu menerusi pelbagai aktiviti selama dua hari bermula Sabtu.
Pemangku Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Iskandar Allan berkata, program yang berlangsung di Kompleks Islam Sarawak itu menampilkan Pameran Edu Fair yang disertai 30 agensi kerajaan dan badan berkanun.
Menurut beliau, pelbagai pengisian turut disediakan, termasuk Program Khas Wanita, Kursus Kemahiran Akademi Latihan Insan, aktiviti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), sukaneka serta penyerahan bantuan.
“Kemuncak program ialah sesi townhall pendidikan yang dijadual berlangsung pada Ahad, pukul 9 pagi, dengan menampilkan tiga ahli panel daripada Biro Perkhidmatan Pendidikan MIS, TBS dan Yayasan Wakaf Sarawak.
“Sesi itu akan memberi penerangan kepada pengunjung mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Iskandar turut menggalakkan masyarakat Islam di Sibu dan kawasan sekitar mengunjungi pameran yang berlangsung sepanjang dua hari berkenaan, selain menghadiri sesi townhall pendidikan esok.-EDISI UKAS