PUSA: Regata Tandang Sari (RTS) 2026 merupakan platform penting untuk memelihara warisan budaya tempatan, memperkukuh perpaduan masyarakat serta mempromosikan keunikan Daerah Pusa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, warisan budaya seperti RTS perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda bagi memastikan identiti serta tradisi masyarakat tempatan kekal terpelihara.
“RTS merupakan warisan yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda agar identiti serta budaya masyarakat tempatan terus kekal,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah sempena Majlis Perasmian RTS 2026 di Dataran Tandang Sari, di sini, pada Sabtu.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, RTS turut berperanan dalam memupuk perpaduan dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
Beliau turut menyifatkan penganjuran RTS sebagai peluang untuk mengetengahkan warisan budaya serta produk tempatan kepada pengunjung, sekali gus membuka ruang kepada usahawan memasarkan produk mereka.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, acara lumba perahu yang menjadi tarikan utama RTS merupakan warisan dan keunikan Sarawak yang mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Beliau berharap penganjuran RTS terus diperkasakan kerana bukan sahaja mempromosikan pelancongan Sarawak, malah memberikan limpahan rezeki kepada peniaga, pengusaha kraftangan dan usahawan tempatan.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Dato Razaili Gapor, Timbalan Residen Bahagian Betong Mohammad Nizam Wang, Pegawai Daerah Pusa Hamdan Katang serta Pemanca Daerah Pusa Rosli Uji.-EDISI UKAS