20 Pelajar Teroka Inovasi Digital Menerusi Program techstars_Startup Weekend Betong
BETONG: Seramai 20 pelajar dari Kolej Vokasional Betong dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Betong menyertai program techstars_Startup Weekend Betong bagi membangunkan idea inovatif berasaskan teknologi digital untuk menangani permasalahan setempat.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, pendedahan kepada teknologi moden penting bagi membantu pelajar menguasai kemahiran digital dan menghasilkan penyelesaian yang memenuhi keperluan masyarakat.
“Pelajar perlu berani mencuba, meneroka idea baharu dan tidak takut melakukan kesilapan kerana pengalaman tersebut dapat membantu mereka belajar serta memperbaiki hasil kerja pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan ke program berkenaan di Betong Digital Innovation Hub, di sini, pada Sabtu.
Datuk Gerald menggalakkan peserta supaya memanfaatkan peluang pembelajaran sepanjang program dengan aktif bertanya kepada mentor dan fasilitator bagi mendapatkan panduan serta memperluas pengetahuan mereka.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk ChatGPT, sebagai alat bantuan tanpa mengabaikan pemikiran kritis dan pertimbangan sendiri.
Program anjuran Betong Digital Innovation Hub itu berlangsung selama tiga hari dengan memberi tumpuan kepada tema hutan hujan dan hospitaliti di Betong.
Sepanjang program, peserta menjalankan penyelidikan untuk mengenal pasti masalah, menjana idea serta membangunkan cadangan aplikasi atau laman web dengan bantuan teknologi AI sebelum membentangkan hasil mereka menerusi sesi pitching.
Turut hadir, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong TPr Moris Nyaup dan Pengurus Betong Digital Innovation Hub, Amelia Lina.-EDISI UKAS