Sunflower Open Day Perkukuh Keterangkuman Golongan Berkeperluan Khas
MIRI: Seramai 150 pelajar MRC/PPDK Sunflower Miri menerima bakul bantuan Rahmah sempena MRC/PPDK Sunflower Open Day 2026, yang turut mengetengahkan kepentingan sokongan berterusan dan peluang inklusif kepada golongan berkeperluan khas.
Program yang berlangsung di PDK Sunflower Miri pada Sabtu itu turut menyaksikan penyerahan sumbangan kerusi roda daripada KPJ, disaksikan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Bertemakan ‘Together We Bloom: Celebrating Abilities, Inspiring Inclusion’, program berkenaan bertujuan meraikan kebolehan dan perkembangan pelajar, selain menghargai sokongan keluarga, tenaga pengajar, penaja serta komuniti dalam membantu mereka mengembangkan potensi diri.
Pengerusi Penganjur MRC/PPDK Sunflower Open Day 2026, Jocelyn Hee Mei Fong berkata, program itu bukan sekadar hari terbuka, malah menjadi ruang untuk mengiktiraf pencapaian pelajar serta perjalanan pembelajaran mereka.
Menurut beliau, setiap kanak-kanak mempunyai keupayaan dan perkembangan tersendiri yang memerlukan kesabaran, galakan serta peluang untuk belajar mengikut kemampuan masing-masing.
Beliau berkata, setiap pencapaian pelajar, walaupun kecil, membawa makna besar kepada mereka dan keluarga, sekali gus menunjukkan pentingnya sokongan berterusan daripada semua pihak.
Usaha berkenaan juga penting bagi memastikan pelajar berkeperluan khas mendapat peluang untuk berkembang, membina keyakinan diri dan melibatkan diri dalam masyarakat tanpa berasa tersisih.
Selain penyampaian bantuan, program itu turut dimeriahkan dengan persembahan tarian singa, tarian kebudayaan dan taekwondo, selain ceramah kesedaran mengenai isu buli yang disampaikan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.
Penganjuran program itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan keterangkuman serta memperkukuh kerjasama komuniti dalam menyokong perkembangan dan kesejahteraan golongan berkeperluan khas. -EDISI UKAS