Pendidikan STEM Perlu Diperkukuh Sejak Sekolah Rendah
MIRI: Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu diperkukuh sejak peringkat sekolah rendah bagi melahirkan generasi yang kreatif, inovatif dan berupaya menghadapi perkembangan teknologi yang semakin pesat.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, dron dan sistem pengangkutan pintar menjadikan pendidikan STEM semakin penting dalam mempersiapkan murid menghadapi keperluan masa depan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Seminar Pendidikan STEM untuk Guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Zon Utara, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, pendidikan STEM bukan sekadar bertujuan melahirkan saintis dan jurutera, sebaliknya turut membentuk keupayaan murid untuk berfikir secara kritis, mengemukakan soalan, meneroka idea serta menyelesaikan masalah secara kreatif.
Sehubungan itu, guru digalakkan menerapkan pendekatan pengajaran yang lebih interaktif dan berasaskan pengalaman praktikal, termasuk melalui eksperimen mudah, pemerhatian terhadap situasi harian dan projek yang tidak memerlukan peralatan mahal.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan murid di kawasan bandar dan luar bandar mendapat peluang yang sama untuk mengakses pendidikan sains dan teknologi yang berkualiti.
Usaha memperkukuh pendidikan STEM juga memerlukan kerjasama berterusan antara pihak pengurusan sekolah, guru, ibu bapa dan komuniti bagi memperluas pendedahan murid terhadap aktiviti sains serta teknologi.
Beliau berharap seminar berkenaan menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa pendidikan STEM di sekolah rendah Cina di Sarawak Utara, khususnya melalui penerapan kaedah pengajaran yang lebih menarik dan berkesan. -EDISI UKAS