KUALA LUMPUR: Kejayaan anakanda tersayang, Sharifah Nong-Jasima menamatkan pengajian dan menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian menjadi detik penuh bermakna buat Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Pasangan itu berkenan menghadiri Majlis Konvokesyen Open University Malaysia (OUM) Ke-31 di World Trade Centre Kuala Lumpur pada Sabtu bagi meraikan kejayaan akademik anakanda mereka.
Kehadiran Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah turut mencerminkan sokongan serta penghargaan keluarga terhadap pencapaian Sharifah Nong-Jasima dalam bidang pendidikan.
Ketibaan pasangan itu disambut oleh Canselor OUM, Tan Sri Datuk Seri Azman Hashim, Pengerusi Lembaga Gabenor OUM, Datuk Paduka Profesor Emeritus Dr. Muhamad Awang serta Presiden merangkap Naib Canselor OUM, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Ezanee Awang.
Turut hadir, ahli keluarga terdekat termasuk Sharifah Nuriel Barieyah, Muhammad Nur Hakeem, Tasnim serta cucunda pasangan itu, Athena.-EDISI UKAS