Kerajaan, Sektor Swasta Perlu Berganding Bahu Hadapi Cabaran Ekonomi Masa Depan
KUCHING: Kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta penting dalam memastikan Sarawak mampu menghadapi perubahan landskap ekonomi dunia serta merebut peluang pembangunan pada masa akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, institusi sektor swasta berperanan memberikan pandangan profesional kepada kerajaan bagi mengenal pasti kelemahan sistem dan membantu menambah baik dasar demi kepentingan ekonomi negeri.
“Peranan institusi sektor swasta adalah penting kerana kita bukan pakar dalam semua perkara.
“Terdapat kelemahan yang mungkin perlu dikenal pasti dan melalui pandangan profesional, kita boleh memperbetulkannya demi kepentingan keseluruhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) di Kompleks UNIFOR, di sini pada Sabtu.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, kerjasama sektor swasta turut merangkumi usaha memperluas perdagangan rentas sempadan termasuk melalui hubungan SBF dengan Dewan Perniagaan Indonesia dan pembentukan Komuniti Perniagaan Borneo.
Beliau berkata, kerjasama sedemikian berpotensi membuka ruang kepada komuniti perniagaan di Borneo untuk meneroka peluang dalam bidang perdagangan karbon dan tenaga boleh diperbaharui, selaras dengan perubahan ke arah ekonomi hijau.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Presiden Seumur Hidup SBF Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg serta Presiden SBF Dato Jonathan Chai Voon Tok. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ameerul Syafiq Khir