Pembangunan Modal Insan Kunci Transformasi Ekonomi Sarawak
KUCHING: Pembangunan modal insan berkualiti menjadi asas kepada usaha Sarawak melonjakkan ekonominya dalam tempoh 10 tahun akan datang, khususnya dalam menghadapi perubahan teknologi dan landskap ekonomi dunia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penguasaan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) penting bagi memastikan rakyat mampu menyokong peralihan negeri kepada ekonomi berteknologi tinggi.
“Apa yang penting sekarang ialah rakyat, Sarawak hanya boleh membangun apabila kita mempunyai modal insan yang berkualiti. Jika tidak, sekiranya kita tidak menguasai subjek STEM atau subjek sains, kita akan ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) di Kompleks UNIFOR, di sini pada Sabtu.
Menurut Premier Sarawak, perkembangan teknologi memerlukan rakyat mempunyai pengetahuan serta kemahiran yang bersesuaian untuk menyokong transformasi ekonomi negeri.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Sarawak turut menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada rakyat Sarawak yang layak melanjutkan pengajian di universiti milik negeri sebagai antara usaha memperkukuh pembangunan modal insan.
Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan, Sarawak perlu mempercepat pembangunan ekonominya menerusi dasar yang berorientasikan masa depan dan tidak hanya bergantung pada penggunaan teknologi. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ameerul Syafiq Khir