Insentif Atlet SUKMA Sarawak Dijangka Diumum Dalam Masa Terdekat
KUCHING: Atlet Sarawak yang meraih pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berkemungkinan menerima berita gembira apabila pengumuman mengenai insentif penghargaan kepada mereka dijangka dibuat dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, pengumuman berkenaan dijangka dibuat oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atau menteri berkaitan.
“Kita tunggu minggu depan. Saya fikir Premier ataupun menteri akan membuat pengumuman mengenai insentif untuk pemenang SUKMA kita kali ini.
“Kita mengharapkan ada berita baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Penghargaan SUKMA dan Anugerah Ulang Tahun Sarawak Aquatics, di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun, Datuk Gerald menjelaskan bahawa jumlah insentif yang bakal diumumkan masih belum dapat dipastikan, termasuk sama ada kadarnya menyamai insentif yang diberikan pada edisi SUKMA terdahulu.
Menurutnya, penghargaan kepada atlet merupakan antara bentuk pengiktirafan terhadap komitmen, disiplin dan pengorbanan mereka dalam mengharumkan nama Sarawak di pentas sukan kebangsaan.
Pada SUKMA 2026, kontinjen Sarawak menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan, sekali gus menyediakan asas untuk memperkukuh pembangunan atlet serta persediaan menghadapi kejohanan akan datang.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak menerusi kementerian dan agensi sukan berkaitan untuk memperkasa pembangunan sukan, termasuk mengiktiraf sumbangan jurulatih serta pegawai yang memainkan peranan penting di sebalik kejayaan atlet.-EDISI UKAS