ASWK Umum Insentif RM60,900 Kepada Atlet & Jurulatih Akuatik SUKMA Sarawak
KUCHING: Sarawak Aquatics (ASWK) menyalurkan insentif berjumlah RM60,900 kepada atlet dan jurulatih sukan akuatik Sarawak yang meraih pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian serta komitmen mereka mengharumkan nama negeri.
Presidennya, Tan Kun Gee berkata, pemberian insentif itu diharap menjadi pemangkin kepada atlet dan jurulatih untuk terus meningkatkan prestasi serta memburu kejayaan lebih besar pada kejohanan akan datang, khususnya SUKMA 2028.
“Tahniah kepada semua penerima anugerah yang telah mengharumkan nama Sarawak.
“Kami berharap insentif ini akan mendorong anda untuk terus mengejar kecemerlangan dan mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Penghargaan SUKMA dan Anugerah Ulang Tahun Sarawak Aquatics, di sini pada Sabtu.
Hadir menyerikan majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu.
Menurut Kun Gee, setiap pencapaian atlet merupakan hasil latihan berterusan, dedikasi jurulatih serta sokongan ibu bapa dan pegawai yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan akuatik negeri.
Pada SUKMA XXII Selangor 2026, kontinjen akuatik Sarawak mencatatkan pencapaian memberangsangkan menerusi acara terjun yang menyumbang lapan pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa.
Pasukan polo air lelaki dan wanita turut mencapai sasaran masing-masing apabila kedua-duanya meraih pingat emas, manakala acara renang menyumbang satu emas, dua perak dan empat gangsa.
Menurut beliau, walaupun sasaran asal pingat emas bagi acara renang tidak tercapai, pencapaian itu perlu dijadikan asas untuk menilai kelemahan dan memperkukuh persiapan menghadapi pertandingan akan datang.
“Kita meraikan kemenangan, belajar daripada kekurangan dan kembali dengan lebih kuat pada masa hadapan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan bahawa pertukaran nama Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS) kepada Sarawak Aquatics (ASWK) telah diluluskan, sekali gus menandakan fasa baharu dalam usaha memperkukuh identiti persatuan dan pembangunan sukan akuatik di Sarawak.
Katanya, penjenamaan semula itu mencerminkan komitmen berterusan persatuan untuk memperluas pembangunan bakat muda, meningkatkan standard kejurulatihan serta menyediakan lebih banyak peluang kepada atlet untuk bersaing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. -EDISI UKAS