RM50,370 Bantuan Baja Disalur Kepada 23 Pekebun Kecil Lawas
LAWAS: Seramai 23 pekebun kecil kelapa sawit dan lada di Lawas menerima 138 beg baja bernilai RM50,370 menerusi Program Bantuan Baja untuk Pekebun Kecil Kelapa Sawit dan Lada (BBKSL) Fasa 4 bagi membantu pengurusan tanaman dan meningkatkan produktiviti.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, bantuan berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan input pertanian bagi menyokong keperluan pekebun kecil.
“Bantuan yang diberikan ini diharapkan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk meningkatkan hasil tanaman. Jangan sampai baja yang dibekalkan tidak digunakan kerana kita mahu bantuan ini memberikan manfaat kepada para pekebun kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan berkenaan di Pejabat Pertanian Lawas, pada Sabtu.
Daripada jumlah keseluruhan penerima, tujuh orang merupakan peserta dari kawasan Ba’Kelalan, manakala 16 lagi dari Bukit Sari.
Bantuan tersebut melibatkan 138 beg baja dengan berat 50 kilogram setiap satu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,900 kilogram.
Inisiatif itu diharap dapat membantu pekebun kecil mengurus tanaman dengan lebih baik, sekali gus menyokong usaha meningkatkan produktiviti pertanian di kawasan berkenaan.-EDISI UKAS