RM10,000 Sokong Aktiviti Komuniti Paroki Good Shepherd Lutong
MIRI: Peruntukan sebanyak RM10,000 disalurkan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti Paroki Good Shepherd Lutong sempena ulang tahun ke-27 penubuhannya.
Peruntukan daripada Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew itu diumumkan oleh The Reverend Pilu Gumba yang mewakili beliau pada Jamuan Makan Malam Kesyukuran di sebuah hotel di sini, pada Sabtu.
Majlis bertemakan “Thanksgiving Dinner – 27th Anniversary as a Parish” itu menghimpunkan hampir 500 ahli paroki bagi meraikan perjalanan komuniti berkenaan sepanjang 27 tahun penubuhannya.
Penganjuran majlis itu turut menjadi wadah menghargai sumbangan para paderi, ahli jawatankuasa, pemimpin awam dan sukarelawan yang memainkan peranan penting dalam menjayakan pelbagai aktiviti pelayanan serta kebajikan paroki.
Sokongan kewangan dan sumbangan material daripada penderma, ahli paroki serta masyarakat setempat juga membantu menyokong pembangunan fizikal dan pelaksanaan aktiviti kebajikan komuniti berkenaan.
Sambutan ulang tahun itu mencerminkan komitmen berterusan generasi terdahulu dan semasa dalam memelihara serta mengembangkan komuniti Paroki Good Shepherd Lutong.-EDISI UKAS