Kepakaran Jurutera Penting Tangani Cabaran Infrastruktur Sarawak
MIRI: Kepakaran jurutera dan kerjasama antara kerajaan dengan badan profesional perlu diperkukuh bagi menangani cabaran infrastruktur luar bandar dan pedalaman Sarawak, khususnya berkaitan penyelenggaraan jalan, pembinaan lintasan sungai serta peningkatan kesalinghubungan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jurutera berperanan penting dalam merangka penyelesaian praktikal terhadap cabaran pembangunan, selain memastikan pelaksanaan projek mengambil kira aspek keselamatan, kecekapan dan kelestarian jangka panjang.
“Semasa Sarawak melangkah ke arah menjadi sebuah wilayah yang berpendapatan tinggi dan maju, kita bukan sekadar membina lebih banyak infrastruktur. Kita sedang membina masa depan yang lebih saling terhubung, lebih berdaya tahan, lebih mampan, dan lebih inklusif.
“Oleh itu, peranan jurutera melangkaui
jauh skop reka bentuk teknikal dan pelaksanaan projek. Pada masa kini, jurutera diharapkan untuk menyumbangkan idea, menyelesaikan cabaran yang rumit, mengamalkan inovasi, serta memastikan
pembangunan membawa manfaat kepada
generasi masa kini dan masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan I (Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo pada Majlis Makan Malam Tahunan 2026 IEM Cawangan Miri di Eastwood Valley Golf & Country Club, di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Datuk Amar Douglas berkata, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan digital, Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), automasi dan analitik lanjutan berpotensi meningkatkan kecekapan serta produktiviti pelaksanaan projek.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penggunaan teknologi perlu disokong oleh integriti, profesionalisme dan akauntabiliti, dengan keselamatan serta kepentingan awam kekal sebagai keutamaan dalam setiap keputusan kejuruteraan.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II itu mendedahkan mengenai perbincangan beliau bersama IEM Cawangan Miri sebelum ini yang menyentuh cabaran jalan balak di kawasan luar bandar, penyelenggaraan jalan, pembinaan lintasan sungai dan peningkatan kesalinghubungan, termasuk kemungkinan mewujudkan mekanisme penyelenggaraan jalan yang lebih tersusun.
Perbincangan itu turut merangkumi penggunaan bahan tempatan seperti batu kelikir sungai secara bertanggungjawab, kerja pengorekan mendapan di Pelabuhan Miri serta perancangan kesalinghubungan serantau, termasuk koridor Miri-Marudi.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran Seksyen Jurutera Wanita (WES) IEM Cawangan Miri, penyampaian pengiktirafan keahlian korporat MIEM, kenaikan ke taraf Fellow dan Honorary Fellowship serta Anugerah Kelestarian.
Pertukaran Surat Hasrat antara IEM Cawangan Miri dengan SMK Luar Bandar dan SK Kuala Baram turut berlangsung pada majlis yang menghimpunkan kira-kira 420 tetamu itu.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang.-EDISI UKAS