Kerjasama, Penyelarasan Program Penting Perkukuh Keberkesanan Organisasi
BINTULU: Kerjasama erat dan penyelarasan program yang sistematik dalam sesebuah organisasi penting bagi memastikan setiap aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, kesepakatan serta komitmen semua pihak menjadi asas dalam memperkukuh hubungan kerja, meningkatkan kecekapan pengurusan dan memastikan kelancaran pelaksanaan program.
Menurut beliau, kerjasama antara barisan kepimpinan dan ahli di pelbagai peringkat perlu terus diperkasa bagi mewujudkan organisasi yang lebih tersusun serta berupaya melaksanakan tanggungjawab secara bersama.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu mesyuarat tahunan organisasi di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dato Sri John turut menekankan kepentingan penyelarasan antara pelbagai peringkat kepimpinan bagi memastikan setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan secara bersama dan mencapai matlamat yang ditetapkan.
Katanya, perpaduan dan persefahaman dalam kalangan ahli juga perlu sentiasa dipelihara bagi memperkukuh hubungan serta meningkatkan keberkesanan gerak kerja organisasi.
Mesyuarat berkenaan turut menjadi platform kepada ahli untuk menyampaikan pandangan, bertukar pendapat serta membincangkan perancangan dan hala tuju organisasi bagi memperkemas pelaksanaan program pada masa hadapan.-EDISI UKAS