Masyarakat Igan Diseru Perkukuh Perpaduan, Pelihara Warisan Budaya
DARO: Masyarakat Igan diseru agar terus memperkukuhkan perpaduan, memelihara warisan budaya serta menyemarakkan semangat kerjasama.
Ia disuarakan oleh Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi semasa menyempurnakan perasmian Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA@KKDW) Parlimen P.207 Igan Tahun 2026 di Medan Selera Daro pada Sabtu.
Beliau turut memuji usaha KEMAS Parlimen Igan dalam menganjurkan program kemasyarakatan yang dapat mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dengan rakyat.
Program anjuran KEMAS Parlimen Igan itu merangkumi Pertandingan Bermukun yang disertai 15 pasukan, aktiviti gotong-royong membersihkan tanah perkuburan Islam serta Program Ziarah Kasih bagi menyantuni masyarakat setempat. -EDISI UKAS