KEMAS Perlu Terus Jadi Penggerak Utama Transformasi Desa
TANJONG MANIS: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu terus diperkasa sebagai penggerak transformasi desa melalui pendidikan, peningkatan kemahiran dan peluasan peluang ekonomi masyarakat luar bandar.
Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Dato Ir Yusuf Abdul Wahab berkata, KEMAS bukan sekadar agensi kerajaan, malah berperanan penting dalam membina masyarakat desa yang berilmu, bersatu padu dan berdaya saing.
Berucap pada Majlis Penutupan Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA) pada Sabtu, beliau menegaskan pembangunan desa perlu memberi tumpuan kepada tiga aspek utama, iaitu pendidikan awal dan pembentukan sahsiah anak-anak, peningkatan kemahiran serta ekonomi isi rumah, dan pengukuhan semangat gotong-royong serta perpaduan komuniti.
Menurutnya, Tabika dan Taska KEMAS penting dalam menyediakan pendidikan asas kepada anak-anak desa, manakala kelas kemahiran seperti masakan, jahitan, kraf tangan dan perniagaan digital mampu membantu wanita serta belia menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup keluarga.
Dato Ir Yusuf turut menekankan bahawa pembangunan desa bukan hanya bergantung pada kemudahan fizikal, tetapi juga memerlukan kerjasama, perpaduan dan keprihatinan sesama masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat desa agar terus menyokong dan menyertai program KEMAS bagi meningkatkan ilmu, kemahiran serta kesejahteraan komuniti, selain berharap GEMA terus menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat desa yang makmur, bersatu padu dan berwawasan.-EDISI UKAS