Pemimpin Masyarakat Digesa Jadi Penggerak PCDS 2030, Pastikan Manfaat Pembangunan Sampai Kepada Rakyat
LUNDU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta pemimpin tempatan digesa memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan setiap inisiatif pembangunan Kerajaan Sarawak dapat difahami, diakses dan dimanfaatkan oleh rakyat khususnya masyarakat luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, pembangunan negeri bukan sekadar diukur melalui jumlah peruntukan atau pelaksanaan projek infrastruktur, sebaliknya perlu memberikan manfaat nyata kepada rakyat selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Pembangunan bukan sekadar janji atau angka peruntukan. Pembangunan mesti dirasai, dinikmati dan memberi manfaat kepada rakyat,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Majlis Taklimat dan Penerangan Inisiatif serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Kerajaan Sarawak di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Lundu pada Sabtu.
Billy menambah, pemimpin masyarakat bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan maklumat mengenai dasar dan inisiatif kerajaan, malah perlu membantu penduduk memahami prosedur permohonan bantuan supaya tiada golongan yang layak tercicir daripada menerima manfaat.
“Jangan sekadar menerima maklumat, tetapi sebarkan maklumat yang benar. Jangan sekadar mengetahui tentang bantuan, tetapi bantu mereka yang layak memahami cara mendapatkannya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan peruntukan pembangunan sebanyak RM10.098 bilion menerusi Belanjawan Sarawak 2027, termasuk RM6.4 bilion bagi pembangunan luar bandar, sebagai langkah penting dalam mempercepat pembangunan yang lebih inklusif dan seimbang.
Menurutnya, peruntukan berkenaan amat signifikan kepada kawasan Opar dan Lundu yang masih memerlukan penambahbaikan kemudahan asas, termasuk bekalan air, elektrik, liputan telekomunikasi, jaringan jalan raya serta infrastruktur sokongan ekonomi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setiap projek yang diluluskan perlu dilaksanakan secara cekap dan dipantau secara berterusan bagi mengelakkan kelewatan yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, beliau mahu pemimpin masyarakat memperkukuh kerjasama dengan agensi pelaksana dalam mengenal pasti keperluan setempat serta menyalurkan maklumat lengkap melalui saluran rasmi bagi membolehkan tindakan susulan dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Pada masa sama, Billy menegaskan bahawa kejayaan PCDS 2030 memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana, pemimpin masyarakat dan rakyat bagi memastikan pembangunan negeri dapat dinikmati secara menyeluruh.
“Kerajaan yang baik memerlukan penyertaan rakyat yang aktif, manakala pembangunan yang berkesan memerlukan kerjasama dan kepercayaan semua pihak,” ujarnya.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Pengarah Program Jangkauan Setiausaha Politik, Abdul Samat Gany, Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail serta barisan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak.-EDISI UKAS