Pengesanan Awal, Kawalan Faktor Risiko Cegah Penyakit Jantung
KUCHING: Kesedaran mengenai faktor risiko dan pengesanan awal perlu dipertingkat bagi membantu mengurangkan ancaman penyakit jantung yang terus menjadi antara masalah kesihatan utama di Malaysia dan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, orang ramai perlu mengetahui bacaan tekanan darah, kolesterol dan gula dalam darah masing-masing bagi membolehkan langkah pencegahan diambil lebih awal.
“Pencegahan bermakna anda juga perlu mengetahui bacaan kesihatan anda, termasuk tahap kolesterol, tekanan darah dan gula dalam darah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Sambutan Hari Jantung Sedunia di Kuching Civic Centre di sini pada Ahad.
Datuk Amar Dr Sim menambah, penyakit jantung bukan hanya melibatkan golongan berusia, malah turut boleh menjejaskan individu lebih muda, sekali gus menuntut perhatian terhadap amalan gaya hidup sihat.
Beliau turut menggalakkan orang ramai mengamalkan pemakanan seimbang dan memantau tahap gula dalam darah bagi membantu mengawal faktor risiko penyakit jantung.
Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan Yayasan Jantung Sarawak penting dalam memperluas pendidikan dan kesedaran awam mengenai pencegahan penyakit jantung, selain menyokong usaha menggalakkan masyarakat mengutamakan kesihatan.
Sambutan Hari Jantung Sedunia membawa mesej “Jangan Terlepas Satu Degupan” (Don’t Miss a Beat), yang mengingatkan masyarakat bahawa setiap individu mempunyai peranan dalam menjaga kesihatan jantung melalui pencegahan dan tindakan awal.
Turut hadir, isteri Timbalan Premier Sarawak, Dato Enn Ong Siok Ean, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Jantung Sarawak, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Jantung Sarawak, Dato Anne Teng.-EDISI UKAS