SK Tembawang Terima Peruntukan RM50,000, Perkasa Kemudahan Pendidikan
BAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Tembawang menerima peruntukan berjumlah RM50,000 bagi menaik taraf kemudahan sekolah serta menyokong pelaksanaan pelbagai program pendidikan demi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada murid.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM35,000 diperuntukkan bagi kerja menaik taraf pentas dewan sekolah, manakala RM15,000 disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk melaksanakan program serta aktiviti pendidikan.
Menurut beliau, penyaluran peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kemudahan pendidikan luar bandar, khususnya bagi memastikan murid dan warga pendidik menikmati persekitaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Gotong-Royong Perdana anjuran PIBG SK Tembawang di sekolah berkenaan, pada Sabtu.
Beliau menambah, pelbagai inisiatif pembangunan sekolah telah dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun lalu, namun masih terdapat beberapa keperluan yang memerlukan perhatian dan tindakan susulan secara berperingkat.
Antaranya termasuk permohonan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung bagi memudahkan pergerakan murid ketika cuaca panas dan hujan.
Sehubungan itu, Billy memaklumkan bahawa usaha akan dilakukan bagi mengenal pasti sumber peruntukan bersesuaian untuk merealisasikan kemudahan tersebut demi meningkatkan keselamatan dan keselesaan murid.
Mengulas perkembangan projek menaik taraf dewan sekolah pula, beliau memaklumkan bahawa pelaksanaannya masih menunggu penyaluran dana daripada Agensi Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Dalam pada itu, Billy turut menekankan kepentingan pembangunan kepimpinan pendidikan dengan menggalakkan guru berkelayakan mengikuti Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) sebagai persediaan menerajui pentadbiran sekolah pada masa hadapan.
Beliau juga menyarankan pihak sekolah menganjurkan program motivasi bagi meningkatkan keyakinan dan kesediaan murid sebelum pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP).-EDISI UKAS