Enam Projek Bernilai RM6.78 Juta Perkasa Pembangunan Kampung Jenan
SERIAN: Sebanyak enam projek pembangunan bernilai keseluruhan RM6.78 juta dilaksanakan secara berperingkat di Kampung Jenan Tebedu bagi meningkatkan kemudahan asas, kesalinghubungan serta kesejahteraan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, projek berkenaan merangkumi kerja menaik taraf infrastruktur jalan raya, sistem bekalan air, kemudahan keagamaan dan kemudahan komuniti menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) serta Agensi Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Menurut beliau, empat projek di bawah RTP melibatkan peruntukan keseluruhan RM780,000, manakala dua lagi projek di bawah GKCDA bernilai RM6 juta.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Makan Malam anjuran Biro Wanita Kampung Jenan di Dewan Komuniti Kampung Jenan pada Sabtu.
Antara projek RTP berkenaan ialah menaik taraf Gereja Anglican bernilai RM300,000, menurap jalan dalam Kampung Jenan (RM180,000), menaik taraf jalan pertanian (RM150,000) dan menaik taraf Dewan Komuniti Kampung Jenan (RM150,000).
Sementara itu, dua projek di bawah GKCDA melibatkan kerja menaik taraf sistem bekalan air di Kampung Jenan bernilai RM1 juta serta pembinaan Jalan Perhubungan Desa Jenan-Kakeng dengan peruntukan RM5 juta.
Beliau menambah, projek yang diumumkan itu merangkumi projek yang telah siap, sedang dilaksanakan dan telah diluluskan untuk pelaksanaan bagi memenuhi keperluan pembangunan masyarakat luar bandar.
Dalam pada itu, Dr Simon turut mengiktiraf peranan penting Biro Wanita dalam memperkukuh kesejahteraan keluarga, memupuk perpaduan serta membangunkan komuniti yang harmoni dan berdaya tahan.
Menurut beliau, peranan golongan wanita bukan sahaja tertumpu kepada tanggungjawab dalam keluarga, malah turut merangkumi pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Katanya, golongan wanita merupakan tonggak penting dalam membentuk keluarga yang harmoni, mendidik generasi muda serta menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat.
Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Serian, Blaise Thomas, Pegawai FAMA Sarawak, Kemin Rentap, Pegawai Tadbir Tanah Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Serian, Atin Rimpa, Penghulu Ginui Pupur, Ketua Kampung Jenan, Limai Rangig dan Ketua Biro Wanita Kampung Jenan, Kayah Lihong.-EDISI UKAS