Hampir 1,000 Peserta Meriahkan Larian 10KM Hari Sukan Negara Bintulu
BINTULU: Hampir 1,000 peserta menyertai Larian 10 Kilometer (10KM) sempena Hari Sukan Negara Bintulu 2026 pada Ahad, mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap aktiviti sukan dan rekreasi dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, penyertaan itu menunjukkan minat masyarakat terhadap aktiviti larian yang menggalakkan amalan gaya hidup aktif dan sihat.
“Pada pagi ini, larian sejauh 10 kilometer dianjurkan sempena dengan Hari Sukan Negara dan hampir 1,000 peserta mengambil bahagian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis pelepasan larian berkenaan di Dewan Suarah Bintulu, pada Ahad.
Menurut Johnny, aktiviti larian bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat melakukan senaman, malah menyediakan ruang untuk beriadah dan mengeratkan hubungan sesama peserta.
Katanya, satu lagi acara larian turut dianjurkan di Boulevard, Bintulu, yang menunjukkan penganjuran aktiviti seumpama itu turut menjadi sebahagian daripada pilihan rekreasi masyarakat setempat.
Beliau berharap lebih ramai penduduk akan terus mengambil bahagian dalam aktiviti sukan dan rekreasi bagi menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuh hubungan dalam komuniti.– EDISI UKAS