Kepimpinan Baharu Persatuan Melanau Miri Perlu Perkukuh Perpaduan, Kebajikan
MIRI: Kepimpinan baharu Persatuan Melanau Miri bagi penggal 2026–2028 perlu memperkukuh perpaduan, menjaga kebajikan ahli dan memastikan kepentingan masyarakat Melanau terus terbela.
Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, Mesyuarat Agung Tri-Tahunan Ke-6 merupakan platform penting untuk memilih barisan kepimpinan yang berupaya meneruskan perjuangan persatuan serta memastikan kelangsungan organisasi.
Menurut beliau, kepimpinan persatuan bukan sekadar melibatkan pemegang jawatan, sebaliknya menuntut komitmen bersama untuk menyatukan ahli, memelihara identiti masyarakat Melanau dan memperkukuh hubungan kekeluargaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan Ke-6 Persatuan Melanau Miri bagi penggal 2026–2028 di Dewan Balau, Wisma Melanau Miri, pada Ahad.
Penasihat II Persatuan Melanau Miri itu turut menegaskan bahawa semua ahli perlu terus memberikan sokongan kepada barisan kepimpinan yang dipilih demi memastikan persatuan kekal kukuh dan mampu memperjuangkan kepentingan komuniti.
Dalam aspek perwakilan komuniti, beliau turut membangkitkan keperluan mewujudkan perwakilan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Melanau di Miri bagi memastikan komuniti itu mendapat perwakilan sewajarnya, termasuk dalam urusan berkaitan Mahkamah Bumiputera.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan dan kesinambungan pemberian insentif kecemerlangan akademik bagi membantu anak-anak ahli melanjutkan pelajaran serta membuka peluang masa depan yang lebih baik.
Selain itu, penyertaan lebih ramai ahli, khususnya golongan muda, dalam aktiviti persatuan perlu digalakkan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan, di samping memperkukuh usaha memelihara bahasa, budaya dan warisan masyarakat Melanau.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian anugerah bursari oleh Miri Melanau Association Charitable Trust (MMACT) dan Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak (LAKKMS), selain penyampaian sijil penghargaan kepada barisan jawatankuasa penggal 2023–2026, anugerah Jasa Mu Dikenang dan cenderahati.-EDISI UKAS