Pembangunan Bersepadu Gedong Bakal Pacu Ekonomi, Perkukuh Jaringan Perhubungan
GEDONG: Gedong bakal muncul sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi baharu menerusi pembangunan bersepadu yang dirancang secara strategik, termasuk penyediaan infrastruktur dan jaringan perhubungan bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kesalinghubungan antara bandar dan luar bandar, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh masyarakat.
Menurut beliau, antara projek strategik yang sedang dibangunkan ialah Mini Isthmus Gedong serta jaringan jalan raya baharu yang bakal meningkatkan akses penduduk kepada pasaran dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
“Pertama, Gedong perlu mempunyai akses perhubungan yang baik ke kawasan pasaran bagi memudahkan pemasaran hasil pengeluaran tempatan.
“Jika sebelum ini akses bergantung kepada jalan raya Samarahan, pembangunan jalan raya berkembar dari Munggu Kopi, Serian ke Gedong, seterusnya ke Samarahan dan Sebuyau hingga ke utara Sarawak, akan meletakkan Gedong di tengah-tengah rangkaian perhubungan utama itu,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Gerak Mula Program Satu Pemimpin Satu Kampung Berambeh di Gedong pada Ahad.
Mengulas lanjut, Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong berkata, perancangan pembangunan secara menyeluruh itu bukan sekadar meningkatkan kemudahan infrastruktur, malah menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat dalam jangka panjang.
Katanya, kedudukan Gedong dalam rangkaian perhubungan utama berkenaan berpotensi memperluas akses pasaran bagi hasil pengeluaran tempatan, sekali gus mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada penduduk.
Sehubungan itu, beliau mahu masyarakat setempat turut memainkan peranan aktif dalam memanfaatkan pembangunan yang dirancang, khususnya bagi memastikan generasi akan datang memperoleh manfaat secara berterusan.
“Sebab itu orang kampung dan juga kawasan-kawasan di sini hendaklah menyusuli pembangunan yang telah kita susunkan dan kita aturkan,” ujar beliau lagi.
Terdahulu, Premier Sarawak turut mengadakan lawatan ke tapak pembangunan Mini Isthmus Gedong serta mendengar taklimat mengenai perkembangan projek daripada Borneo Development Corporation (BDC) Sdn. Bhd., Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak serta Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD).
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia Datuk Dr Hazami Jahari, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Wakil Khas ADUN Gedong Dato Sri Mohammad Naroden Majais, Residen Bahagian Samarahan Irwan Bahari Bujang dan Pegawai Daerah Gedong Jamain Wahab.-EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Natalie Cherinie Johnny