Sarawak Lahirkan Pakar Tempatan, Perkukuh Penyelidikan Penyakit Tropika
GEDONG: Sarawak terus memperkukuh keupayaan penyelidikan penyakit berjangkit tropika menerusi pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang perubatan dan penghasilan ubat-ubatan, termasuk menyediakan peluang kepada anak Sarawak melanjutkan pengajian sehingga peringkat Doktor Falsafah (PhD).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah strategik itu bertujuan melahirkan lebih ramai pakar tempatan yang mampu menerajui penyelidikan saintifik serta menyumbang kepada pembangunan sektor kesihatan Sarawak dalam jangka panjang.
“Kita telah menghantar anak-anak kita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan juga bidang mengeluarkan ubat di peringkat sarjana dan seorang lagi akan kita hantar ke ‘London Tropical Disease Centre’ untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Gerak Mula Program Satu Pemimpin Satu Kampung Berambeh di Gedong pada Ahad.
Menurut beliau, usaha melahirkan kepakaran tempatan itu turut diperkukuh menerusi pembangunan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) di Samarahan dengan peruntukan RM400 juta daripada Kerajaan Sarawak.
Katanya, pusat penyelidikan berkenaan dilengkapi kemudahan makmal serta kepakaran saintis bagi menjalankan kajian terhadap penyakit berjangkit tropika, termasuk meneroka potensi penghasilan ubat-ubatan sebagai persediaan menghadapi ancaman penyakit pada masa hadapan.
Selain penyelidikan di makmal, beliau berkata, penggunaan makmal penyelidikan bergerak turut membolehkan pakar mendekati masyarakat secara langsung, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai langkah pencegahan dan kawalan penularan penyakit.
“Alhamdulillah pagi tadi, saya bersama-sama dengan pakar di Kampung Lubok Buntin dan kita sekarang sudah ada makmal bergerak, ‘Mobile Research Center tadi’.
“Dan kita rasa kita boleh menasihatkan masyarakat bagaimana mengawal ‘trend’ penyakit yang menular di kalangan masyarakat kita,” ujar beliau lagi.-EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Natalie Cherinie Johnny