Sarawak Ambil Alih Pembangunan Sekolah Baharu Di Gedong & Sageng
GEDONG: Kerajaan Sarawak mengambil alih pembangunan sekolah baharu di Gedong dan Sageng bagi memastikan keperluan pendidikan di kawasan itu terus diberi perhatian meskipun peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan berkurangan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan sekolah berkenaan penting bagi memastikan anak-anak di Gedong dan Sageng mendapat akses kepada pendidikan serta ilmu pengetahuan terkini yang diperlukan untuk menghadapi perubahan semasa.
“Walaupun Kerajaan Persekutuan ada kurang sikit peruntukannya, kita mengambil alih membangun sekolah baharu di Sageng dan juga di Gedong,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Gerak Mula Program Satu Pemimpin Satu Kampung Berambeh di Gedong, pada Ahad.
Beliau menegaskan, keutamaan kerajaan adalah memastikan anak-anak mendapat pendidikan berkualiti tanpa mengira sumber peruntukan yang digunakan untuk membangunkan kemudahan berkenaan.
“Kerana kita tidak kira di mana sumbernya, tetapi yang penting anak kita mesti dilatih dan juga mempunyai ilmu terkini,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu lagi.
Justeru katanya, usaha tersebut diharap dapat menyokong pembangunan modal insan di kawasan berkenaan, selaras dengan keperluan melahirkan generasi berpengetahuan dan berkemahiran untuk menghadapi cabaran masa depan. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Natalie Cherinie Johnny