Pemimpin Akar Umbi Perlu Terjemah Dasar Pembangunan kepada Tindakan
GEDONG: Pemimpin di peringkat akar umbi perlu memainkan peranan lebih aktif dalam menggerakkan masyarakat dan menterjemahkan dasar pembangunan kerajaan kepada tindakan di peringkat akar umbi bagi memastikan penduduk dapat memanfaatkan perubahan ekonomi serta kemudahan yang disediakan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kepimpinan setempat perlu mempunyai keupayaan memberikan inspirasi, membina semangat masyarakat dan merancang masa depan kampung bersama penduduk, khususnya golongan muda.
“Dalam kampung, mesti ada seorang pemimpin iaitu pemimpin yang boleh memberi inspirasi, pemimpin yang boleh memberi semangat baru, pemimpin yang boleh melihat masa depan untuk bekerjasama dengan anak kampung untuk mengubah kampung kita yang ada,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Gerak Mula Program Satu Pemimpin Satu Kampung Berambeh di Gedong, pada Ahad.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, pembangunan luar bandar tidak boleh bergantung kepada pembinaan prasarana semata-mata, sebaliknya perlu disokong peningkatan ilmu pengetahuan, pendidikan dan keupayaan masyarakat menghadapi perubahan.
Justeru, pemimpin setempat perlu memahami hala tuju pembangunan Sarawak dan membantu penduduk menyesuaikan diri dengan perkembangan baharu, termasuk penggunaan teknologi serta perubahan kaedah pengurusan.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu turut menekankan kepentingan melahirkan generasi muda yang mempunyai pengetahuan terkini bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan pembangunan kampung.
Menurutnya, penguasaan ilmu dan kerjasama masyarakat menjadi asas untuk membolehkan penduduk menghadapi cabaran masa depan dengan keupayaan sendiri. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Natalie Cherinie Johnny