Hubungan Erat Kakitangan KHA Cerminkan Keharmonian Masyarakat Sarawak
KUCHING: Hubungan erat antara tiga kakitangan Melayu yang telah berkhidmat dengan Persatuan Hokkien Kuching (KHA) selama hampir 20 tahun menjadi bukti keharmonian, sikap saling menghormati dan semangat perpaduan yang menjadi kekuatan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, hubungan yang terjalin bukan sekadar atas dasar pekerjaan, sebaliknya berteraskan kepercayaan, persefahaman dan semangat kekitaan yang dipupuk sejak sekian lama.
Menurut beliau, kisah tersebut mungkin kelihatan seperti sebahagian daripada rutin pekerjaan harian, namun hakikatnya membawa makna besar dalam menggambarkan keharmonian masyarakat Sarawak.
“Hubungan mereka dibina bukan semata-mata atas dasar pekerjaan, tetapi juga melalui persefahaman, penghargaan dan rasa kekitaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian pada Majlis Perasmian Kuil Qing Shan Yan Tian Hou di Kampung Muara Tebas, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, hubungan baik antara masyarakat berlainan kaum dan latar belakang mampu berkembang secara semula jadi melalui interaksi, kerjasama serta sikap saling menghormati.
Katanya, keharmonian yang dinikmati Sarawak bukan sahaja diterjemahkan melalui dasar kerajaan atau majlis rasmi, malah turut dipupuk dalam kehidupan seharian, khususnya di tempat kerja, kawasan kejiranan dan hubungan persahabatan.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memelihara nilai persefahaman, kepercayaan dan semangat kekitaan bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak terus berkekalan.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut memuji KHA atas komitmen berterusan dalam memelihara warisan budaya dan tradisi masyarakat Hokkien, di samping memperkukuh hubungan erat dengan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.-EDISI UKAS