Balingian Berpotensi Jadi Destinasi Pelancongan Sukan
BALINGIAN: Penyertaan seramai 634 peserta dalam program Balingian Fun Walk 2026 sejauh 4 kilometer membuktikan potensi pekan itu untuk berkembang sebagai destinasi pelancongan sukan.
Penghulu Harbi Bakir berkata, kehadiran peserta dari luar Balingian dan Mukah menunjukkan pekan itu mempunyai daya tarikan tersendiri yang boleh diketengahkan bagi menarik lebih ramai pengunjung.
"Keunikan Balingian merangkumi persekitaran pekan yang terbuka dan menghijau, suasana kampung tradisi, pasar lama serta pembangunan moden," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi pada program sempena sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Kecil Balingian itu di Tapak Bederun, di sini, pada Ahad.
Harbi berkata, program berjalan kaki santai itu bukan sahaja menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform untuk menyatukan pelbagai lapisan masyarakat serta menyokong aktiviti komuniti setempat.
Sementara itu, Pengarah Program Balingian Fun Walk 2026, Mohd Helmi Zamil berkata jumlah penyertaan tahun ini merupakan yang tertinggi sepanjang empat tahun program itu dianjurkan.
"Sukan bukan sekadar aktiviti fizikal, sebaliknya berperanan mengeratkan silaturahim dan membina komuniti yang lebih sihat, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak dalam aspek kesejahteraan rakyat, pembangunan modal insan dan peningkatan kualiti hidup.
"Kami berharap penyertaan golongan belia dan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur dalam aktiviti sukan serta rekreasi dapat terus dipertingkatkan di peringkat akar umbi," ujarnya.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Balingian Nolin Gendang, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah Bonnie Manau Michael Amerikan dan Pengerusi Balingian Brotherhood Sport Recreation Club Nurulamizan Madeli.-EDISI UKAS