Beting Maro Berpotensi Jadi Hab Industri Apong, Nipah
PUSA: Kawasan Beting Maro berpotensi dibangunkan sebagai antara hab industri berasaskan apong dan nipah di Sarawak, susulan potensi sumber tempatan yang mampu menjana nilai ekonomi lebih tinggi kepada masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata antara sumber yang mempunyai potensi besar termasuk gula apong, nipah, sagu dan lemantak.
Beliau berkata, usaha memperkukuh industri berkenaan termasuk perancangan pembinaan kilang nipah dapat meningkatkan pemprosesan serta nilai tambah produk tempatan.
“Usahawan perlu mengambil peluang untuk menceburi industri berasaskan nipah, khususnya dalam penghasilan pelbagai produk gula apong,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Regata Tandang Sari (RTS) Edisi Ke-3 2026 di Dataran Tandang Sari, Pusa pada Ahad.
Menurutnya, Kampung Tambak dikenal pasti mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai kawasan industri berasaskan apong dan nipah, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai usahawan tempatan.
Dalam pada itu, Dato Razaili berkata RTS turut berperanan sebagai platform mempromosikan produk serta hasil ekonomi tempatan kepada pengunjung dari dalam dan luar kawasan Pusa.
Katanya, sambutan menggalakkan terhadap RTS 2026 membuktikan acara berkenaan mampu menjadi tarikan pelancongan di samping mengeratkan perpaduan masyarakat.
Sementara itu, Pegawai Daerah Pusa, Hamdan Katang, berkata RTS 2026 menerima sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran pengunjung termasuk dari luar kawasan Pusa.
Beliau berkata, penganjuran yang bermula 10 Oktober lalu berjalan lancar hasil kerjasama semua pihak, khususnya wakil rakyat dan agensi terlibat.
Hamdan berharap RTS dapat diteruskan sebagai acara tahunan di Pusa atau Beladin bagi merancakkan aktiviti masyarakat serta menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.
Dalam pertandingan regata, pasukan Todak dinobatkan sebagai Raja Sungai RTS 2026 selepas muncul johan, diikuti Top White Marlin di tempat kedua dan Barracuda di tempat ketiga.-EDISI UKAS