Program Mystery Box Eratkan Hubungan Pelatih, Ibu Bapa PPDK Daro
DARO: Program Mystery Box: Cooking Challenge bertemakan “Masak Dari Hati, Hidang Dengan Kasih” menjadi platform untuk meningkatkan kemahiran pengurusan diri pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Al-Syafie Daro, di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui aktiviti memasak.
Program yang berlangsung di PPDK Al-Syafie Daro baru-baru ini memberi peluang kepada pelatih mengasah kemahiran penyediaan makanan, membina keyakinan diri serta memupuk semangat kerjasama melalui bimbingan ibu bapa atau penjaga.
Nurhayati Abdullah bertindak sebagai juri pertandingan bagi menilai hasil masakan peserta berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
Selain pertandingan memasak, program tersebut turut diisi dengan ceramah kesihatan oleh Pegawai Sains Pemakanan Klinik Kesihatan Daerah Daro, Ku Nuradlin Ku Naim, yang berkongsi pengetahuan mengenai kepentingan pemakanan sihat dan seimbang.
Pengisian ceramah itu turut melengkapi objektif program dengan menggabungkan pembelajaran kemahiran memasak bersama pendidikan kesihatan, sekali gus memberikan manfaat yang lebih menyeluruh kepada pelatih dan keluarga mereka.
Penganjuran program seumpama itu diharap dapat membantu meningkatkan kemahiran pelatih PPDK dalam aspek pengurusan diri dan penyediaan makanan, di samping memperkukuh komunikasi serta hubungan kasih sayang antara pelatih dengan ibu bapa atau penjaga.-EDISI UKAS