Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 Dalam Proses Penelitian Jabatan Peguam Besar Sarawak
KUCHING: Cadangan pindaan Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 kini dalam proses penelitian Jabatan Peguam Besar Sarawak.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, penelitian draf berkenaan penting bagi memastikan perubahan yang dicadangkan dapat dilaksanakan dan memenuhi keperluan serta cabaran semasa Mahkamah Bumiputera Sarawak.
“Penelitian ini merupakan langkah penting untuk memperkukuh institusi Mahkamah Bumiputera Sarawak dan menyokong pentadbiran keadilan yang berkesan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus komited untuk memastikan pindaan yang dicadangkan memelihara adat dan tradisi masyarakat Bumiputera.
“Sementara menunggu pindaan tersebut dimuktamadkan dan berkuat kuasa, Mahkamah Bumiputera Sarawak akan terus beroperasi berdasarkan kerangka perundangan sedia ada,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS